Friday, August 27, 2010

PASOLEH UPSI MENYERTAI PERTANDINGAN ROBOT COMBAT DI MMU MELAKA

MELAKA, 15 Ogos 2010 – Walaupun PASOLEH tidak dapat ke peringkat akhir pertandingan Robot Combat 2010, tetapi hasil daripada penat lelah pasukan telah membawa PASOLEH ke peringkat kalah mati. Daripada 4 buah robot yang dipertandingkan, sebuah robot iaitu PASOLEH 3 telah berjaya melayakkan diri ke peringkat kalah mati. Sebagai sebuah pasukan yang baru dan boleh dianggap junior di dalam dunia robotik, ia merupakan satu permulaan yang baik untuk PASOLEH.

Pemenang tempat pertama pada cabaran kali ini ialah X-Combat iaitu robot tajaan sendiri. Manakala tempat kedua ialah MMU diikuti War-Saw (JMTi) ditempat ketiga seterusnya di tempat keempat dimenangi oleh pasukan daripada UPM.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Universiti Multimedia (MMU) itu disertai oleh kira-kira 30 pasukan yang mewakili institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta termasuk politeknik. Persiapan telah dilakukan selama sebulan untuk membangunkan robot dan mengkaji cara permainan supaya robot yang dihasilkan bersesuaian dan mengikut kehendak permainan.

Pengendali robot juga dilatih untuk mengendalikan setiap robot yang mempunyai pelbagai fungsi berdasarkan kepada senjata yang terdapat pada robot tersebut. PASOLEH telah diketuai oleh Khairilnizam Bin Khairuddin dan 4 orang pengendali robot iaitu Farhana Ab aziz, Siti Noorliza Binti Gontol, Mohd Tarmizi Abd Halim dan Syafiq Akmal.

PASOLEH dianggotai oleh oleh 45 orang pelajar semester 1 dan 2 program Pendidikan Teknologi Rekabentuk Berkomputer (AT 47) Pendidikan Multimedia (AT46) daripada Fakulti Seni Komputeran Industri Kreatif (FSKIK) menyifatkan kegagalan pasukan ke peringkat akhir sebagai cabaran bagi menyertai beberapa pertandingan lain.

Proses pembangunan robot untuk pertandingan pada kali ini telah dibimbing oleh En. Abd Samad Hanif daripada Program Teknologi Reka Bentuk Berkomputer FSKIK.







Wednesday, August 11, 2010

PERSIAPAN PASOLEH UPSI KE ROBOT COMBAT CHALLENGE, MMU 2010


Kelab Robot Pasoleh UPSI di bawah Fakulti Seni, Komputeran dan Industri kreatif (FSKIK) akan menyertai pertandingan Robot Combat 2010 yang bakal diadakan di Universiti Multimedia, Melaka pada 13 Ogos 2010 hingga 15 Ogos 2010. Pasukan Pasoleh UPSI dibimbing oleh En.Abd Samad Hanif pensyarah daripada Fakulti Seni, Komputeran dan Industri kreatif (FSKIK) dan disertai oleh 45 orang pelajar dari kursus Teknologi Reka Bentuk Berkomputer (AT47) dan Multimedia (AT46).

Pertandingan Robot Combat besempena Robotics Challenge Week 2010 telah dianjurkan oleh Kelab Robotik Universiti Multimedia (Kampus Melaka). Tujuan utama pertandingan ini ialah untuk dijadikan pentas kepada generasi muda terutamanya pelajar IPTA menceburkan diri dalam bidang teknologi robotik. Tema yang ditetapkan adalah robot tempur dan pertandigan robot ‘fight-to-death’. Pertandingan ini memerlukan peserta untuk membina robot sendiri untuk berjuang melawan robot peserta lain. Para peserta diberi kebebasan untuk merancang robot mereka sendiri dengan senjata ampuh untuk mengalahkan lawan-lawan mereka.

Bersesuaian dengan tema yang ditetapkan, ‘fight-to-death’, robot yang ‘mati’ dulu akan kalah dalam perlawanan ini. Sebagai contoh, tidak boleh berfungsi untuk melindungi diri ya sendiri, dan tidak boleh bergerak dikira lumpuh dan kalah. Semua robot dikawal secara WRC (Wireless Remote Control). Had maksimum berat bagi setiap robot adalah sehingga 15kg dan dimensi maksimum adalah 1.0 m x 1.0 m dengan ketinggian 0.75m termasuk senjata yang disambungkan pada badan robot. Senjata yang dibenarkan boleh digunakan tetapi haruslah tidak mendatangkan bahaya kepada peserta dan penonton di sekeliling. Sebarang penggunaan letupan, spray, gas, api dan cecair yang boleh terbakar serta senjata yang boleh tertanggal dari badan robot tidak dibenarkan. Pasukan yang melanggar peraturan ini akan disingkirkan daripada pertandingan.

Empat kumpulan telah dibentuk bagi mempercepatkan dan melancarkan proses membina robot. Idea untuk merekabentuk setiap robot diperolehi daripada perbincangan sesama ahli. Setiap kumpulan mempunyai ketua untuk mengagihkan tugasan kepada setiap ahli supaya kerja yang dijalankan lancar. Robot-robot tersebut diberi nama Si Terlak (Jagohan), Si Campin (Cekap dan Tangkas). Si Guntur ( Halilintar) dan Si Bajang (Kuku Panjang).

PASOLEH telah mengadakan persiapan bagi membangunkan robot-robot pertandingan bermula dari 19 Julai 2010. Semua ahli memberi komitmen terhadap tugas masing-masing. Tugas ini dibahagikan kepada persiapan mekanikal robot, litar elektronik, pengaturcaraan, dan pengendali robot bagi mengawal robot.

Acara ini amat penting dalam kalendar institut pengajian tinggi sebagai satu wadah bagi menonjolkan kebolehan pelajar mengurus dan melaksanakan amali, merancang aktiviti. Melalui penyertaan UPSI dalam pertandingan ini bererti universiti dan pelajar boleh memperoleh pelbagai manfaat yang berguna untuk semua. Selain itu melalui pertandingan ini pelajar yang menyertainya dapat mengharumkan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris ke peringkat yang lebih global.